Insuran Berkaitan Pelaburan

Category : Takaful

Pelan insurans berkaitan pelaburan atau “Investment Link Insurance” ialah pelan insurans hayat yang menggabungkan perlindungan dengan pelaburan. Premium yang dibayar bukan sahaja menyediakan perlindungan insurans hayat tetapi sebahagian daripada premium tersebut juga akan dilaburkan ke dalam dana pelaburan tertentu mengikut pilihan anda. Sebagai pemegang polisi, anda boleh memilih bagaimana membahagikan premium insurans anda untuk perlindungan dan pelaburan.

Mengapa Saya Patut Beli Insuran Berkaitan Pelaburan?

  • Anda diberi fleksibiliti memilih tahap perlindungan dan pelaburan anda
  • Anda boleh memilih untuk mengubah jumlah pembayaran premium atau perlindungan mengikut perubahan kedudukan kewangan anda
  • Anda boleh memilih daripada berbagai dana untuk melabur bergantung kepada paras risiko yang selesa untuk anda
  • Anda menghendaki pelan simpanan untuk masa depan yang dapat mengekalkan taraf hidup anda

Bagaimana Untuk Saya Memilih Pelan Yang Sesuai?

Apabila memilih pelan, sentiasalah:

  • Menimbang jumlah yang anda mahu atau sanggup laburkan ke dalam pelan tersebut, sama ada pelan premium tunggal (single payment) atau berkala (regular)
  • Anda juga perlu menimbangkan untuk memilih jenis dana dan tahap perlindungan yang anda perlukan
  • Menilai pilihan anda dengan teliti untuk mencari pelan yang benar-benar memenuhi keperluan anda.

Jenis-Jenis Pelan Insuran Berkaitan Pelaburan

Pelan Premium Tunggal (Single Premium Plan)

  • Untuk pelan premium tunggal, anda perlu membayar premium tunggal secara sekaligus. Anda tidak perlu risau tentang bayaran secara berkala atau polisi luput.
  • Pelan ini juga menawarkan perlindungan terhadap kematian atau hilang upaya kekal menyeluruh di dalam lingkungan 125% daripada premium di bayar.
  • Bayaran manfaat pula ialah jumlah yang diinsuranskan atau nilai unit pelaburan semasa membuat tuntutan, nilai mana yang lebih tinggi.
  • Pelan ini membolehkan anda melabur lebih wang untuk menghasilkan pulangan.

Pelan Premium Berkala (Regular Premium Plan)

  • Pelan ini sesuai untuk anda jika anda tidak mahu melaburkan sejumlah besar wang di permulaan pelan.
  • Pelan ini memberikan anda ruang untuk menambah premium dan perlindungan apabila kedudukan kewangan anda bertambah baik pada masa hadapan. Premium dibuat secara bulanan, suku tahunan, setengah tahunan atau tahunan.
  • Perlindungan insurans asas bagi kematian atau hilang upaya kekal menyeluruh biasanya berlipat kali ganda daripada bayaran premium tahunan.
  • Bayaran manfaat adalah jumlah diinsuranskan dicampur nilai unit pelaburan.

Memahami Risiko

Pelan insurans berkaitan pelaburan, seperti pelaburan-pelaburan lain, terdedah kepada pelbagai risiko pelaburan. Harga seunit dana pelaburan (yang diuruskan syarikat pelaburan ) berkait rapat dengan nilai keseluruhan pelan, yang berubah-ubah mengikut pergerakan harga unit. Anda mungkin mendapat keuntungan apabila menjual unit-unit anda, anda juga berkemungkinan mengalami kerugian daripada penjualan itu, kadangkala dengan jumlah yang lebih sedikit daripada yang anda laburkan. Rekod prestasi dana pelaburan yang lepas boleh dijadikan panduan untuk prestasi akan datang.

Sumber: Info Insurans

Post a comment