Aug 10 2008

Aturlah Waktu Untuk Berzikir Kepada Allah Ta’ala

Hendaklah anda mempunyai wirid, yakni suatu waktu yang ditetapkan untuk berzikir kepada Allah Ta’ala, yang boleh ditentukan pada suatu waktu yang tertentu, ataupun menetapkan dengan bilangan yang tertentu. Kalau dengan cara yang terakhir ini yang anda pilih, maka bolehlah anda mengadakan tasbih (subhah) untuk menghitung bilangannya.

Ketahuilah, bahawa zikir itu adalah rukun jalan menuju kepada Allah Ta’ala, dan kunci hakikat. Di samping itu dia juga adalah senjata para murid dan tangga kewalian, sebagaimana yang dikatakan oleh setengah para Arif-Billah. Allah telah berfirman:

“Maka ingatilah Aku (dengan berzikir kepadaKu), nescaya Aku akan mengingati kamu.” (Al-Baqarah:152)

“Maka ingatilah Allah dalam keadaan kamu berdiri, duduk dan ketika kamu baring.” (An-Nisa’:103)

“Wahai orang-orang yang beriman! Ingatilah Allah dengan sebanyak-banyak ingatan!” (Al-Ahzab:41)

Berkata Rasulullah s.a.w.:

“Berfirman Allah Ta’ala: Aku di tentang sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku sentiasa bersamanya ketika dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam DiriKu. Jika dia mengingatiKu dalam kumpulan ramai, maka Aku akan mengingatinya dalam kumpulan yang lebih ramai daripada kumpulan itu.”

“Berfirman Allah Ta’ala: Aku duduk bersama siapa yang mengingatiKu.”

“Mahukah kamu, Aku memberitahu kamu dengan sebaik-baik amalan kamu, dan yang paling bersih pada Tuanpunya kamu, dan yang paling tinggi pada darjat kamu, dan yang paling baik bagi kamu dari membelanjakan emas dan perak, dan lebih utama daripada kamu menemui musuh kamu, lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka pula menebas leher kamu? Para sahabat menjawab: Mahu (duhai Rasulullah!). Jawab beliau: Dialah zikir kepada Allah.”

Petikan dari: Petunjuk Thariqat Ke Jalan Akhirat - Imam Habib Abdullah Haddad Terjemahan Syed Ahmad Semait.

TAGS:

LEAVE A COMMENT

Subscribe Form

Subscribe to Blog